Assalamualaikum wbt.
Sedikit catatan yang dapat di kongsi bersama dari Tazkirah malam tadi.
- Asas kepada Solat Berjemaah perlu ada Mu’adzin yang melaungkan Azan. Imam yang mengimami Solat dan Jemaah yang mengikuti bersolat.
- Taraf Masjid kita adalah bersamaan dengan 27 kali ganda pahala apabila solat berjemaah.
Sabda Rasulullah SAW dalam hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Ibnu Umar ra bermaksud: “solat berjemaah melebihi solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda pahala”. Nabi SAW memberi ancaman yang keras terhadap kaum lelaki yang selalu meninggalkan solat berjemaah dengan sengaja tanpa uzur syarei, sebagaimana sabda baginda SAW dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abi Hurairah RA bermaksud: “Seberat-berat solat ke atas golongan munafiq ialah solat `Isya’ dan solat Subuh. Jika mereka tahu kelebihan pada kedua-dua solat tersebut, tentu mereka akan menunaikannya (secara berjemaah) walaupun dengan cara merangkak (ke tempat solat).
- Sunat memasang niat beriktikaf apabila memasuki Surau / Masjid.
Hukum Iktikaf : Telah Ittifaq (bersepakat) di antara imam-imam mazhab yang empat dan semua orang Islam, bahawa hukum iktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan adalah sunat Muakkadah, kerana mengikut sunnah Rasulullah SAW. dan menuntuti Lailatul Qadar. (Syarah Sohih Muslim li An-Nawawi 8/67 , Fathul Bari li Ibni Hajar As-Asqolani 4/272).Dan tidak khilaf bahawa tidak wajib iktikaf kecuali apabila bernazar dengannya.Manakala hukum iktikaf pada lain daripada sepuluh akhir Ramadhan dan lain daripada iktikaf nazar yang wajib, maka ia adalah sunat (Istihbab) sahaja. Oleh itu sayugialah bagi tiap-tiap orang yang duduk di dalam Masjid kerana menunggu solat atau kerana lain-lain hal, sama ada hal dunia mahu pun akhirat, bahawa ia niat iktikaf padanya, walaupun ia tidak berpuasa, kerana itu dikira pahala dengannya selama mana ia tidak keluar daripadanya. Dan apabila ia masuk semula ke dalam masjid selepas daripada keluarnya, maka hendaklah ia memperbaharui niatnya. (Syarah Sohih Muslim 8/67)
- Jemaah bersiap sedia meluruskan saf sebelum Iqamah. Rapatnya saf jemaah sesuatu tempat / kampong melambangkan betapa rapatnya ukwahnya jemaah tersebut. Andai tidak sempurna saf, rengang di antara satu jemaah dengan jemaah melambangkan perpecahan jemaah tersebut malah syaitan akan menyelit di antara jemaah dang menggangu solat kita dengan rasa hasad pada jemaah yang lain, banding membanding kesempurnaan rukun solat serta mencari kesalahan jemaah yang lain. Daripada Abu Mas’ud al-Ansoori RA, katanya: Sesungguhnya Rasullulah SAW telah merapatkan bahu-bahu kami kami ketika hendak mendirikan solat sambil Baginda SAW bersabda: “Betulkan, penuhkan dan rapat-rapatkan saf-saf solat kamu. Jangan jadikannya bengkang-bengkok, nescaya nanti akan berselisih hati-hati kamu. Hendaklah saf paling dekat dengan daku, terdiri daripada orang cerdik pandai dan matang fikirannya dari kalangan kamu. Kemudian hendaklah mengikut saf seterusnya orang yang baligh tetapi belum matang pemikirannya atau orang-orang yang hampir mencapai umur baIigh. Kemudian hendaklah mengiringi saf seterusnya kanak-kanak yang telah mumayyiz dan yang sepertinya. ” Berkata Abdullah bin Masud: “Aku melihat kamu semua hari ini sangat kuat berselisih dan bertelingkah” - Hadis riwayat Imam Muslim. Kaedah tepi tapak kaki bertemu / bahu bertemu / penuhi sebelah kanan dahulu.
- Di larang berbual kosong atau hal keduniaan di dalam surau / masjid. Banyakkan berzikir daripada berbual kosong, ketawa yang sia-sia.
Sabda baginda yang bermaksud: "Diharamkan api neraka untuk membakar mata yang pernah menangis kerana merasa hebat kepada Allah. Diharamkan api neraka membakar mata yang pernah berjaga-jaga dalam perang sabil, dan diharamkan api neraka untuk membakar mata yang pernah dipejamkan dari hal-hal yang diharamkan oleh Allah..".
Sabda Baginda lagi : "Banyak ketawa itu mematikan hati dan melalaikan daripada mengingati akhirat dan mempusakai marah dalam hati".
"Tertawa di dalam masjid itu menenggelamkan di dalam kubur dan mematikan hati dan melalaikan daripada menyebut nama Tuhan".
- Juga hendaklah memastikan pakaian jemaah (kain / jubah) tidak labuh menutupi tumit kerana ianya menyerupai pakaian wanita.
Isbal (اَْلاِسْبَالُ) bermaksud: “Melabuhkan pakaian (seperti seluar, jubah, kain sarung dan semua jenis pakaian) sehingga menutup buku lali (mata kaki). Atau pakaian labuh yang menyentuh bumi (mencecah tanah) sehinggga diseret.Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: “Ketika ada seorang lelaki yang solat dengan mengenakan pakaian secara Isbal, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berkata kepadanya, “Pergilah dan ambillah wudhu’!” Lelaki itu pun pergi dan berwudhu’ semula. Kemudian dia kembali datang dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kembali berkata, “Pergilah dan ambillah wudhu’!”
Di catat pada 23 Sya’aban 1431H, hadith saya sertakan sebagai rujukan bersama. Andai ada yang kurang, harap maafkan kerana kecetekan ilmu.
lapuran oleh:
Mohd Farid
Setiausa 2009/2010 Surau Muhajirin Muhammad