MAJLIS MARHABAN SEPANJANG BULAN SYAWAL 1429 (2008)Penduduk Damansara Aliff dengan kerjasama & aturcara oleh Perkumpulan Muslim & Muslimah telah berjaya menjalankan aktiviti Marhaban dari rumah ke rumah di sepanjang bulan Syawal. Kemeriahan & keakraban yang diicapai sepajnjang program ini berlangsung boleh disaksikan melalui kesefahaman & gelak ketawa sepanjang 3 minggu program berjalan.
Nota Minit Perjumpaan
Tahun 2008 ini adalah kali pertama tetangga damansara aliff mengadakan marhaban sempena bulan Syawal, lanjutan daripada perbincangan dan usaha ahli lembaga surau damansara aliff. Kalau mengikut perancangan, semua penduduk yang nak menyertai ziarah ini perlu berkumpul dan solat maghrib di surau dulu. Tapi, bagi jemaah wanita, kami lebih selesa solat di rumah & berkumpul di hadapan rumah ziarah yang pertama.
Malam Marhaban Pertama (18/10/08), ada 13 rumah. Sambutan memang diluar jangkaan, Memang ramai! Pada pemerhatian, jemaah lelaki 25 orang & wanita serta anak-anak 30 orang! Tuan rumah yang pertama agak terkejut dan kelam kabut dek kerana "diserbu" oleh tetamu yang begitu ramai. Akhirnya, hanya jemaah lelaki yang bermarhaban di dalam rumah manakala jemaah wanita hanya bermarhaban diluar.
Secara ikhlasnya, saya rasa begitu teruja kerana dapat berkenalan dengan lebih ramai tetangga. Ini adalah masa yang paling sesuai untuk menjalinkan ukhuwah sesama jiran kerana pada waktu lainnya, semua sibuk dengan urusan masing-masing. Silap-silap, hanya setahun sekali dapat bertemu muka sekiranya tiada aktiviti ziarah ini.
Walaupun telah dinyatakan dalam risalah yang diedarkan, bahawa jamuan akan diadakan di rumah terakhir yang akan diziarahi, tapi tuan rumah bagi beberapa rumah yang dikunjungi tetap menyediakan sedikit juadah untuk para tetamunya. Malahan, ada yang mengedarkan buah tangan kepada setiap tetamu untuk dibawa pulang. Anak-anak juga tersenyum lebar kerana dapat "habuan" berupa duit raya! Musim rayalah katakan.....
Jam 10.20 mlm, akhirnya kami sampai ke rumah yang terakhir. Wajah-wajah kepenatan dan kelaparan jelas kelihatan. Sebaik sahaja selesai marhaban dan doa, jemaah lelaki menjamu selera dahulu. Jemaah wanita yang menunggu di luar rumah, tak sabar-sabar nak take turn. Banyak juadah yang terhidang kerana selain tuan rumah, jiran-jiran yang rumahnya diziarahi tadi turut menyumbangkan juadah. Sebelum meninggalkan rumah terakhir ni, mata saya sempat meleret jam di tangan : 11.20 malam.
Setelah bersalam-salaman dan berjanji untuk bertemu lagi pada malam esoknya, semua jemaah beransur-ansur beredar. Walaupun kepenatan, tapi saya yakin bahawa semua yang hadir benar-benar gembira dan berpuas hati dengan ziarah yang diadakan ini.